SAKSI DISEBALIK LENSA

Assalamualaikum Malaysia! 

Macam mana kehidupan seharian dengan norma baru. Berjalan lancar seperti yang diharapkan oleh pemimpin- pemimpin kita tak? Atau kita semakin selesa dengan cara hidup bebas seperti dulu? Jangan mudah lupa ya kawan- kawan, macam mana lelahnya para barisan hadapan kita berjuang untuk melawan makhluk Tuhan yang sekecil- kecil kuman tu. Jika lepas berperang pun kita perlu kukuhkan balik negara kita supaya tidak dijajah sekali lagi, inikan pula dengan penyakit yang masih tiada penawarnya itu. KITA JAGA KITA! Ingat tagline ni selalu.

Hari ni aku tidak mahu membahas tentang kehidupan norma baru tapi aku ingin ceritakan pada semua tentang seseorang yang jarang kita sebutkan nama dan khidmatnya pada semua. Sedangkan dialah yang berada disebalik semua perkara yang kita lihat.

Haaa! Boleh agak tak siapa?
Orang yang aku maksudkan di sini adalah seorang jurukamera. Tapi kenapa JURUKAMERA?
Kerana sebagai pelajar penyiaran aku tahu kerja mereka bukan mudah dalam masa yang sama jarang kita nak cakna tugas mereka. Yang kita nampak dan ambil tahu selalunya mereka yang berada di depan tabir sebagai contoh pengacara, pengarah, pelakon. Sebut sahaja nama semua orang kenal tapi jarang kita nak kenal siapa jurukamera untuk setiap rancangan atau berita apatah lagi nak tahu nama mereka. Aku yakin jika aku bukanlah seorang pelajar media, mungkin aku sendiri pun tidak ambil kisah dengan sesiapa pun yang memegang kamera ketika itu. Sedangkan mereka ni semua watak-watak penting dalam penyiaran. 

Aku ada kenal dengan seorang brother ni. Beliau seorang jurukamera RTM, kebetulan waktu latihan industri di RTM dulu aku pernah bekerjasama sekali dengan beliau. Setelah tamat latihan industri, ada juga aku ternampak perkembangan brother ni dari media sosial. Rupanya, sejak dari perintah kawalan pergerakan yang pertama hinggalah yang terkini semua sidang media yang melibatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri dan semua menteri- menteri yang terlibat brother ni lah yang berada disebalik kameranya.
Aku dapat tahu pasal ni pun bila aku terjumpa gambar- gambar brother ni dekat Instagram Jabatan Perdana Menteri. Kalau anda buka Youtube, cuba cari sidang media sepanjang perintah kawalan pergerakan. 
p/s: Semua gambar- gambar ni ihsan dari Instagram Jabatan Perdana Menteri dan ada juga aku jumpa dekat tempat lain (mohon halalkan yeee) :D

Cuba anda bayangkan bilamana anda perlu berdiri di hadapan Perdana Menteri, Agong  dan menteri- menteri yang lain serta mendengar semua ucapan mereka secara terus. Sebak mereka, sedih mereka, gembira mereka dalam erti kata lain semua emosi Perdana Menteri, Agong dan menteri- menteri yang berucap, jurukamera ni dapat rasakan. Sedangkan kita yang tonton melalui kaca televisyen di rumah juga boleh rasa sedih bila Perdana Menteri membaca doa untuk keselamatan negara kita, inikan pula mereka yang berada di tempat kejadian.
Allahumaa.... amiinn.
Bukan setakat itu je, Perutusan Diraja oleh Yang di- Pertuan Agong sepanjang perintah kawalan pergerakan brother ni juga yang cover.  

Sidang media Perdana Menteri bersama barisan hadapan pun brother ini turut sama-sama ada. Pendek kata, hebat tak hebatlah brother ni sampai diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas- tugas penting.  
Seronok kan jumpa dengan orang- orang hebat.

Terfikir juga aku apalah agaknya perasaan brother bila semua sidang media yang beliau rakam jadi tontonan buat semua rakyat Malaysia. Sampai ada pula netizen kreatif yang sunting video yang brother ni rakam. Antaranya video Perdana Menteri dan dijadikan video- video viral malahan siaran televisyen lain turut menggunakan rakaman dari RTM juga. Yelah, setahu aku bagi mengekalkan penjarakkan sosial dalam masa yang sama berlakunya kawalan pergerakan jadi hanya RTM sahaja yang dibenarkan membuat rakaman. (betulkan saya jika salah)

Jadi aku sangat yakin dengan pendapat aku sendiri bahawa mereka ni semua yang berada disebalik tabir perlu juga diberi penghargaan. Kita yang melihat ni mungkin merasakan perkara itu mudah tapi pahit, tawar dan manis mereka bekerja kita tak pernah tahu. Ibarat seperti brother yang aku ceritakan tadi, selepas habis semua pendemik ini berlalu. Ketika penyakit ini juga sudah reda dan mungkin ada penawarnya. Video- video rakaman sewaktu brother ni bertugas tetap akan jadi tontonan sepanjang masa. Malah video- video ini akan jadi saksi buat generasi akan datang.

Yang aku ceritakan di sini hanyalah salah seorang daripada banyak orang yang lain. Aku tidak menafikan kehebatan barisan hadapan kita yang lain tapi kita juga perlu cakna bidang yang berbeza juga adalah watak penting yang sama- sama kerah masa dan tenaga untuk negara. Aku juga yakin mereka tidak meminta penghargaan dari kita, tapi sekurang- kurangnya kisah mereka yang kita tuliskan ini dapat menjadi inspirasi buat negara bahawa negara punya permata yang berharga walau tidak menghunus senjata. Mereka mungkin tidak beruniform, tapi mereka lah yang bawa dunia pada kita. 
Terima kasih abang cameraman

Terima kasih juga warga media. :)

Comments

miera_za said…
bestnya dpt jumpa agong depan2, live..
Unknown said…
Seronok jugak jadi camera man ni
Terima kasihh abg camera man 🤭
Unknown said…
Amazing! Nak jadi mcm ni one fine day🤗

Popular posts from this blog

Ada Apa Dengan Cinta ?